BELAJAR MELALUI TEKNIK SQ3R
Semasa
saya berada di tingkatan 4, saya ada mengikuti satu kursus yang dianjurkan
berkenaan teknik belajar dan pengurusan masa berkesan. Salah satu daripada
teknik yang menarik saya pelajari ketika itu ialah teknik SQ3R ini.
Pada
mulanya, saya rasa teknik ini bunyinya pelik. Tetapi saya sedar bahawa teknik
sangat berguna semasa mengulangkaji dan juga semasa membaca buku. SQ3R adalah
singkatan bagi
S
- Survey (Kaji) - Mengumpul maklumat yang diperlukan supaya anda
boleh fokus kepada apa yang dibaca dan fikirkan apa yang mahu dicapai melalui
pembacaan.
Q -
Question (Soal) - Menyoal diri sendiri untuk membantu minda anda fokus
kepada apa yang sedang anda lakukan.
R -
Read (Baca) - Baca untuk mengisi maklumat ke dalam struktur pengetahuan
yang telah anda bina melalui langkah S dan Q.
R -
Recite (Lafazkan semula) - Melatih minda anda supaya fokus dan belajar
sambil membaca.
R -
Review (Ulang) - Menyusun maklumat yang anda telah perolehi di dalam minda
dan mula proses untuk mengingatinya.
Anda
mungkin faham jika saya kata ini adalah teknik belajar. Tetapi, apa kena
mengena teknik ini dengan pengurusan masa?
Anda
tentu pernah dengar kisah pelajar yang belajar 4 hingga 8 jam sehari tetapi
masih gagal mendapat keputusan yang beliau kehendaki di dalam peperiksaan. Ia
seolah-olah 4 hingga 8 jam itu langsung tidak bermakna. Ini juga mungkin boleh
jadi kisah anda sendiri jika anda tidak pelajari teknik ini.
Teknik
SQ3R ini melatih anda untuk menjadi seorang yang berkesan dalam melakukan tugas
anda sebagai pelajar. Dengan mengamalkan teknik ini, anda akan dapat baca buku
dengan masa yang singkat dan ingat serta faham lebih banyak maklumat. Mahukah
anda miliki kebolehan seperti pelajar cemerlang ini? Tahniah. Teruskan membaca.
S - Survey (Kaji)
Mengumpul
maklumat yang diperlukan supaya anda boleh fokus kepada apa yang dibaca dan
fikirkan apa yang mahu dicapai melalui pembacaan.
Masalah
yang biasa saya dengar apabila pelajar membaca buku ialah, apabila mereka baca
muka surat ke-3, mereka sudah lupa apa yang mereka baca di muka surat pertama
dan kedua. Jika ini kerap berlaku, usaha anda membaca buku akan jadi sia-sia.
Jadi, langkah pertama untuk mengelakkan ini terjadi ialah dengan memulakan
dengan S-
Survey.
Ini
bermaksud, sebelum anda membaca sesuatu atau belajar sesuatu, anda perlu tahu
apa yang anda mahu cari sebenarnya. maklumat apa yang anda perlukan dan apa
yang anda akan jumpa semasa anda membaca itu. Jika anda mula berfikir begini,
minda anda akan jadi lebih fokus.
Ada
lagi beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk langkah pertama ini.
·
Baca tajuk buku atau bahan bacaan yang anda hendak baca itu.
Perhatikan tajuknya betul-betul. Fikirkan, apa agaknya maksud tajuk itu.
·
Baca arahan,
pembuka kata atau pengenalan oleh penulis buku tersebut. Selalunya, setiap bab
dalam buku ada diselitkan ringkasan mengenai bab tersebut. Baca ringkasan itu
dahulu untuk mendapat idea apa yang anda akan baca sebentar lagi.
·
Perhatikan sebarang
huruf besar atau huruf yang dihitamkan dan digariskan. Itu semua adalah
petunjuk bahawa ia adalah penting untuk anda ketahui. Jika anda abaikannya,
anda mungkin anda tertinggal isi penting dan tidak dapat memahami apa yang cuba
disampaikan oleh buku tersebut.
·
Perhatikan jika
anda gambar atau ilustrasi megenai bab yang akan anda baca. Ilustrasi dan
gambar sangat membantu dalam memahami sesuatu. Ia juga banyak membantu anda
untuk mengingat kerana anda lebih mudah untuk mengingat gambar, bukan tulisan.
·
Teka, apa
agaknya yang akan anda baca sebentar lagi. Buat seperti anda sedang bermain
teka-teki dengan kawan-kawan anda di mana anda cuba meneka apa agaknya yang
bakal anda baca sebentar lagi.
·
Lihat soalan-soalan
yang disediakan di akhir bab yang anda mahu baca. Selalunya, buku-buku
berkaitan pelajaran ada meletakkan soalan di akhir bab untuk anda jawab.
Selalunya anda mungkin lihat soalan-soalan ini selepas habis membaca. Tetapi
sebenarnya anda akan lebih fokus dan berkesan jika anda baca soalan-soalan ini
dahulu. Soalan-soalan ini akan membuka minda anda untuk menyedari apa yang sedang
diceritakan oleh bab tersebut dan isi apakah yang penting dalam bab tersebut.
Q - Question (Soal)
Menyoal
diri sendiri untuk membantu minda anda fokus kepada apa yang sedang anda
lakukan.
Ada
satu perkara yang ajaib mengenai soalan. Soalan boleh membuat minda anda
terbuka untuk mempelajari sesuatu. Contohnya, jika anda diberi apa-apa soalan,
walaupun anda tidak mahu menjawabnya, minda anda akan terbuka untuk mencari dan
menerima jawapannya.
Contohnya,
jika saya tanya, bolehkah ayam mengeramkan telur itik? Apakah yang anda
bayangkan?
Anda
mungkin tidak berminat hendak menjawab soalan ini tetapi saya percaya apabila
soalan itu saya ajukan, di minda anda mula terbayang gambar ayam sedang
mengeramkan telur itik. Mungkin anda pergi lebih jauh lagi dengan membayangkan
ayam membela dan membesarkan sekumpulan anak itik yang menyangka ayam itu
sebagai ibu mereka.
Apa
yang dapat kita pelajari di sini ialah:
·
Apabila
anda menyoal diri anda, anda jadi berminat untuk mengetahui jawapannya.
·
Apabila
anda berminat untuk mengetahui sesuatu jawapan, anda akan jadi lebih fokus.
Jika anda sedang membaca dan terfikir tentang sesuatu soalan, minda anda akan
jadi lebih fokus kepada apa yang anda baca. Ini akan membolehkan anda jumpa apa
yang sedang anda cari.
·
Soalan
membuat anda sedar apa yang sedang anda cari. Apabila anda sedar apa yang anda
cari, anda akan lebih mudah untuk menjumpainya.
Ada
kisah sekumpulan lebih kurang 10 pelajar yang mencari sesuatu di atas rumput.
Pelajar-pelajar ini kelihatan tekun dan bersungguh-sungguh mencari sesuatu di
kawasan berumput tersebut. Kemudian, datang seorang guru dan beliau merasa
ingin tahu apa yang sedang dicari oleh pelajar-pelajar itu. lalu guru itu
bertanya kepada salah seorang pelajar tersebut.
“Kamu
cari apa ni Ali?”
Ali
menjawab, “err… cari….cari….cari apa ye Kasim?” kata Ali sambil menepuk bahu
Kasim. Kasim pun kelihatan terpinga-pinga, tidak tahu apa yang dicarinya.
Rupa-rupanya, semua 10 pelajar itu tidak tahu apa yang mereka cari. Mereka
sekadar mengikut-ikut beberapa orang pelajar yang mencari kunci yang hilang
tadi. Apabila pelajar tadi sudah jumpa kunci mereka dan meninggalkan tempat
itu, 10 pelajar ini masih lagi mencari.
Semasa
membaca atau mempelajari sesuatu yang baru, anda juga kadangkala begitu. Anda
tidak pernah bertanya diri anda apa sebenarnya yang anda sedang cari. Jika kita
lihat semula cerita tadi, apabila guru bertanya soalan “Kamu cari apa…”, barulah pelajar sedar kenapa mereka tidak dapat jumpa
apa yang mereka sedang cari.
Jadi,
mulai sekarang, apabila anda mahu baca sesuatu atau pelajari sesuatu, anda
perlu mulakan dengan menyoal diri anda, apa yang anda mahu cari sebenarnya.
Anda boleh mulakan dengan 3 langkah ini apabila anda mahu mula membaca atau
mempelajari sesuatu.
1.
Soal
diri anda, buku ini / topik ini berkenaan apa?
2.
Buka
bahagian akhir bab itu dan cari soalan mengenai bab tersebut. Baca
soalan-soalan itu dan cuba fikirkan sama ada anda tahu jawapannya atau tidak.
Cuba teka dahulu apakah jawapan kepada soalan itu semua. Ini akan membuat minda
anda semakin aktif dan fokus kepada apa yang anda akan baca.
3.
Soal
diri anda, berapa lama aku perlu ambil masa untuk baca bab ini? Apabila anda
tetapkan masa untuk membacanya, anda akan jadi lebih fokus dan berkesan. Anda
akan tumpukan sepenuh perhatian kerana anda perlu habiskan membacanya dalam
maca tertentu. Katakan anda tetapkan untuk baca dalam masa 30 minit, anda pasti
akan lebih fokus dalam masa 30 minit itu. Anda juga tidak boleh leka atau
khayal.
4.
Semasa
membaca, apabila ada fakta atau cerita yang anda rasa tidak faham atau jelas,
soal diri anda, kenapa macam ini? Mengapa ini/itu berlaku? Adakah ini benar?
Soalan-soalan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap ingin tahu dalam
diri anda. Jika anda pernah baca komik, tentu anda pernah rasa tidak sabar
untuk membaca hingga ke akhir muka surat kerana anda ingin tahu apa
yang akan berlaku. Perasaan ingin tahu ini pula timbul apabila anda menyoal
diri anda tentang apa yang anda baca. Jadi, tingkatkan tahap ingin tahu anda
dengan menyoal diri anda sendiri.
R - Read (Baca)
Membaca
sepatutnya ada kaitan dengan berfikir. Apabila anda membaca, anda akan
berfikir. Sebab itulah ada satu pepatah yang mengatakan
Readers
are leaders. Leaders are readers. (Orang-orang yang membaca adalah pemimpin.
Pemimpin adalah orang-orang yang membaca.)
Persoalannya,
mengapa apabila anda membaca anda boleh mempunyai ciri-ciri dan kemampuan
seorang pemimpin. Sebabnya ialah, seperti yang saya katakan tadi, apabila anda
membaca, anda akan berfikir. Seorang pemimpin yang hebat mesti mempunyai
keupayaan untuk berfikir.
Jika
selama ini anda membaca sambil merasa mengantuk, anda mungkin tidak berfikir.
Jika anda baca tetapi langsung khayal dan tidak sedar apa yang anda baca, sudah
tentunya anda tidak berfikir ketika itu (sekurang-kurangnya, anda tidak
berfikir tentang apa yang anda baca).
Jadi,
anda perlu ingat, semasa membaca, anda perlu berfikir. Bagaimana mahu berfikir?
Mudah sahaja. Ingat kembali soalan-soalan yang telah anda fikirkan dalam
langkah S dan Q tadi. Apabila membaca, aktifkan minda anda dengan berfikir
sambil mencari jawapan kepada soalan-soalan yang telah anda fikirkan tadi.
Apabila
anda aktif berfikir untuk mencari jawapan, minda anda akan fokus. Anda akan
mampu menumpukan sepenuh perhatian dan minat anda untuk terus mambaca juga akan
semakin meningkat.
Apa
yang menarik ialah, apabila anda terjumpa jawapan kepada soalan yang telah anda
fikirkan, anda akan lebih mudah ingat akan fakta itu. Ini sebenarnya membantu
daya memori anda juga.
Ikuti
langkah ini:
1.
Untuk
lebih mudah ingat soalan-soalan yang telah anda fikirkan, tuliskan
soalan-soalan tersebut di atas kertas dan letakkan kertas itu di sebelah anda
ketika membaca. Sekali-sekala, lihat semual kertas itu untuk mengingatkan diri
anda kepada soalan-soalan tersebut.
2.
Jangan
risau jika anda merasa sedikit pening apabila membaca disebabkan teknik baru
ini. Rasa pening atau tidak selesa itu selalunya menunjukkan bahawa anda tidak
biasa dengan teknik ini dan diri anda masih cuba menyesuaikan diri dengan cara
baru anda belajar. Sama seperti anda mula-mula menunggang basikal atau belajar
menggunakan komputer. Ia terasa tidak selesa, janggal dan kadangkala
memeningkan. Tetapi apabila anda sudah biasa, anda akan rasa selesa dan serono
menggunakan teknik ini.
3.
Selalunya,
apabila anda membaca dan aktif berfikir, anda akan terfikirkan soalan-soalan
baru. Tuliskan soalan itu di atas kertas tadi supaya anda tidak lupa.
4.
Mungkin
tidak semua soalan anda akan dapat terjawab. Soalan yang tidak dapat anda jawab
itulah yang patut anda tanyakan kepada guru anda di sekolah atau di pusat
tuisyen anda. Penjelasan daripada guru pasti akan membantu anda memahaminya.
R - Recite (Lafazkan semula)
Melatih
minda anda supaya fokus dan belajar sambil membaca.
(Lafazkan
semula ini tidak hanya bermaksud anda perlu sebut dengan kuat apa yang telah
anda baca. Anda boleh hanya fikirkan dan sebutkan dalam hati.)
Semasa
anda membaca, adalah normal jika anda jadi khayal dan leka hingga anda hilang
fokus kepada apa yang anda baca. Ini adalah benar terutamanya anda membaca
buku-buku berbentuk teknikal seperti buku Sains, Kimia dan Biologi. Namun anda
tidak perlu risau kerana anda boleh kembalikan fokus anda dengan menggunakan
teknik ini.
Anda
perlu tahu, buku selalunya disusun mengikut bab atau bahagian-bahagian
tertentu. Elakkan daripada membaca kesemua bab sekaligus tanpa berhenti dan
melakukan langkah ini. Langkah R- Recite ini menyuruh anda:
1.
Selepas
habis membaca satu-satu bahagian atau bab, berhenti seketika dan cuba ingat
semula apa yang telah anda baca.
2.
Ingat
semula soalan-soalan anda dalam langkah awal tadi dan cuba jawab soalan-soalan
tersebut. Anda cuma perlu jawab dalam minda anda sahaja. Jika anda tidak dapat
jawab, buka semula muka surat yang anda telah baca dan cari semula jawapan
tersebut dengan pantas. Aktiviti ini akan menambahkan kecekapan anda dalam
mencari sesuatu maklumat dalam buku atau mana-mana bahan bacaan.
3.
Jika
boleh, jangan teruskan membaca selagi anda tidak tahu apa jawapan yang anda
sedang cari melalui bab tersebut.
4.
Setelah
anda yakin anda faham dan dapat jawab soalan tersebut, teruskan membaca bab dan
bahagian seterusnya.
R - Review (Ulang)
Menyusun
maklumat yang anda telah perolehi di dalam minda dan mula proses untuk
mengingatinya.
Langkah
terakhir ini adalah sangat penting untuk memastikan anda ingat apa yang telah
anda baca. Jika anda ada belajar tentang teknik memori, memori anda terbahagi
kepada memori jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Jika anda baca
sepintas lalu sahaja, maklumat itu semua hanya akan singgah di memori jangka
masa pendek anda sahaja.
Ini
bermakna, anda akan lupa semua maklumat itu dalam masa yang sangat singkat. Ada
satu kajian yang mengatakan bahawa kita akan lupa lebih daripada 90% apa yang
telah kita pelajari dalam masa 48 jam sahaja. Ini bermakna, jika anda baca buku
pada hari Isnin, anda akan lupa hampir kesemuanya pada hari Rabu atau Khamis.
Sia-sia bukan?
Jadi
anda perlukan langkah terakhir ini. Apa yang patut anda lakukan ialah:
1.
Setelah
anda habis membaca, lihat semula semua soalan yang telah anda fikirkan tadi.
Cuba jawab semua soalan itu di dalam minda anda. Jika anda rasa anda yang anda
tidak berapa ingat, anda boleh buka semula muka surat yang berkenaan dan cari
maklumat tersebut.
2.
Bayangkan
apa yang anda baca tadi dalam bentuk tayangan gambar, atau bayangkan apa yang
anda baca tadi sebenarnya diceritakan oleh guru anda. Bayangkan anda melihat
tayangan gambar dan penerangan itu dari awal hingga akhir.
3.
Anda
juga boleh bayangkan soalan itu keluar dalam kertas peperiksaan di sekolah
anda. Bayangkan, jika soalan itu benar-benar keluar, apa yang akan anda jawab.
4.
Akhir
sekali, antara aktiviti yang paling berkesan untuk membuat anda ingat apa yang
anda baca ialah dengan menulisnya di atas kertas. Anda tidak perlu tulis
cantik-cantik seperti menulis nota yang lengkap. Anda cuma perlu menuliskan
isi-isi penting yang telah anda pelajari menggunakan ayat anda sendiri.
Kesimpulan
Tahniah
kerana anda telah pelajari kelima-lima langkah ini. Saya percaya anda faham apa
yang telah saya kongsikan di sini. Apa yang perlu anda lakukan sekarang ialah
berlatih menggunakan teknik ini setiap kali anda membaca atau mempelajari
sesuatu yang baru.
Apabila
anda sudah kuasai dan biasa dengan teknik ini, anda akan dapati diri anda lebih
fokus terhadap apa yang anda baca. Anda juga akan sedar bahawa kebolehan anda
untuk mengingat apa yang anda baca meningkat dengan mendadak. Ini semua adalah
kerana teknik ini menggalakkan kebolehan anda untuk berfikir dengan aktif
semasa anda membaca.
Banyak
lagi kelebihan lain yang akan anda perolehi sebenarnya. Cuma, untuk lebih
berkesan, anda perlu cari kelebihan-kelebihan itu semua dengan usaha anda
sendiri. Saya ucapkan selamat berjaya.